Sunday, August 24, 2008

Falsafah Perjuangan Dan Kepemimpinan Pemuda

Malaysia, kini sedang melangkah ke era wawasan yang hangat memperkatakan tentang pembangunan negara dan bangsa untuk mencapai taraf sebuah negara maju dan memiliki teknologi tinggi. Wawasan 2020 merupakan satu gerakan kebangsaan yang bukanlah perkara baru, cuma cetusannya dibuat begitu ghairah supaya dapat menyedarkan orang-orang Melayu yang masih bermimpikan zaman kesultanan Melaka dan sekali gus membangkitkan semangat kita untuk bertindak dengan tekad ke arah satu matlamat dan tujuan. Wawasan 2020 menuntut rakyat Malaysia mempunyai semangat untuk berdaya maju dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan pertanian berteknologi tinggi menurut acuan kita sendiri, setelah mencontohi beberapa rahsia kejayaan sama ada dari negara barat atau timur.

Persoalannya adakah Wawasan 2020 yang menjadikan gagasan kepada kita semua yang luhur dan murni ini akan tercapai. Perkara ini hanya dapat ditentukan seandainya para pemimpin negara mempunyai tindakan dan strategi yang tersusun dalam semua bidang politik, ekonomi dan sosial selaras dengan kemajuan semasa. Sementara itu pula masyarakat Malaysia harus menerima dengan insaf penerapan wawasan tersebut atas kesedaran untuk membina bangsa Malaysia yang unggul di mata dunia.

Soal tercapai atau tidaknya cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ini amat bergantung kepada teraju dan tindakan pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Maka itu, pemimpin-pemimpin yang berkhidmat untuk masyarakat perlulah lebih kreatif dan inovatif serta memberi prioriti terhadap dasar kepemimpinan negara Malaysia.

Sehingga kini, terlalu banyak seminar dan perbincangan telah diadakan yang mengaitkan pencapaian Wawasan 2020. Usaha sebegini merupakan petanda baik bahawa semua masyarakat cuba disedarkan tentang betapa perlunya penghayatan bersepadu akan gagasan tersebut. Yang pentingnya, dengan penghayatan tersebut adalah diharapkan agar para pemimpin dari segenap peringkat dan rakyat mempunyai semangat rajin bekerja, berdisiplin dan sanggup berkorban demi melahirkan sebuah negara dan bangsa yang dihormati oleh dunia.

Sejarah yang tidak pernah berbohong telah memperlihatkan kebenaran yang telah berlaku. Contoh yang paling nyata adalah seperti negara Jepun yang mencapai kemajuan pada awal abad ke 20 kerana masyarakatnya memiliki semangat disiplin, kesetiaan dan kejujuran yang unggul. Pada hari ini semua negara di dunia mengenali Jepun kerana berjaya menjadi sebuah negara maju di samping mampu mengekalkan ciri-ciri kebudayaan tradisinya seperti amalan menundukkan kepada tanda hormat apabila bertemu tetamu dan bertutur bahasa Jepun dalam apa aktiviti sekalipun. Ini adalah perkara yang amat membanggakan.

Kini, Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan selama 36 tahun dan UMNO yang memasuki 47 tahun perlulah meneruskan contoh-contoh kepemimpinan parti yang terbaik untuk mempengaruhi dan meningkatkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Justeru itu, pemimpin-pemimpin Pemuda yang bakal menggantikan pucuk pimpinan parti apabila sampai masanya perlu menyambut dan menerima tugas dengan serius dan penuh tanggungjawab untuk kesejahteraan bangsa Melayu khasnya dan Malaysia amnya. Menjadi pemimpin untuk mendapatkan kedudukan, kejayaan, pangkat bukanlah pegangan pemimpin sejati bahkan jauh sekali dari falsafah kepimpinan UMNO. Jika perasaan ini kedapatan di sanubari ahli-ahli UMNO wajarlah ia dihukum-matikan agar tidak menjadi barah yang bisa melumpuhkan kestabilan UMNO.

Sekiranya perasaan ini tidak disekat di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO nescaya bangsa Melayu tidak akan dapat duduk sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Negara yang diingini oleh Datuk Seri Dr Mahathir bukan sahaja sekadar rakyatnya hidup mewah dan aman, kaya dengan wang ringgit tetapi kaya dan tebal dari segi keimanan. Jika rakyat Malaysia kaya dari segi fizikal dan rohaninya, secara langsung kepemimpinan negara akan tenang menghadapi cabaran-cabaran dengan kekuatannya yang tersendiri. Penekanan Perdana Menteri supaya pemimpin-pemimpin UMNO memiliki kekuatan iman dan ilmu-ilmu yang mencukupi segala bidang memang tepat. Kombinasi ini perlu untuk mengelakkan lahirnya bangsa yang serakah, tidak menikam kawan dari belakang dan menjadi duri dalam daging yang akan merugikan seluruh umat Melayu.

Sesebuah negara itu tidak akan maju jika para pemimpinnya tidak mempunyai cita-cita yang dinamik dan berjiwa besar dengan idea yang jelas untuk memajukan pembangunan secara menyeluruh bagi faedah semua lapisan rakyat dan negara. Bagi menampilkan bangsa Melayu untuk lebih dihormati dan disegani oleh bangsa-bangsa asing, adalah menjadi kewajipan para pemimpin Pemuda untuk meneruskan usaha pemimpin-pemimpin masa lalu untuk melengkapkan diri bagi menjadi pemimpin politik yang dikagumi dan disanjungi kerana mempunyai wawasan yang jelas untuk kecemerlangan kepemimpinan demi untuk membangunkan negara tercinta. Demi untuk mencapai cita-cita murni ini adalah amat penting bagi kita untuk mempunyai pemimpin yang benar-benar terpilih di kalangan yang terpilih dan cemerlang di kalangan yang terbilang.

Negara dan generasi akan datang akan musnah, kucar-kacir jika nakhodanya tidak kecukupan idea, keimanan, ilmu, keadilan dan keberanian dalam memimpin negara yang mempunyai berbagai lapisan kaum dan budaya. Tambahan pula bidang politik merupakan satu kerjaya yang menuntut mereka mempunyai ketegasan, bercita-cita tinggi dan mahir dalam segala lapangan. Oleh itu pemimpin-pemimpin Melayu tahun 2020 perlulah pandai menari zapin dengan tangkas, cekap, cepat dan bergaya dalam memimpin negara. Pemimpin mesti tegas secara teori dan praktikalnya supaya orang-orang (bagi kalangan pemimpin yang suka memfitnah, menikam dari belakang dan lompat melompat) tidak mudah mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh. Ini perlu untuk dihayati oleh pemimpin supaya mereka muncul sebagai pemimpin yang mempunyai kemahiran sebelum di amanah memimpin satu bangsa yang bermaruah, maju dan disanjungi oleh masyarakat kemudian.

Cabaran-cabaran bagi membangunkan sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia bukanlah satu tugas yang mudah. Imej dan kehormatan UMNO akan dapat dikekalkan sekiranya UMNO dapat menangani isu-isu semasa dan mendatang dengan tenang dan bijaksana. Negara Malaysia yang dibangunkan oleh masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama pasti memunculkan berbagai masalah yang cukup mencabar. Oleh itu hanya pemimpin yang mempunyai kekuatan urat besi dan berakalkan kancil adalah berwibawa untuk memastikan keharmonian dan kestabilan negara Malaysia dapat dikekalkan buat selama-lamanya. Akan tetapi jika para pemimpin bersandarkan kekuatan kekayaan dan kekuatan lahiriah semata, tentunya idea Wawasan 2020 akan menjadi impian kosong dan sindiran generasi mendatang. Oleh yang demikian para pemimpin UMNO perlu memberi perhatian terhadap falsafah-falsafah berikut untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal mendatang.

Pertama, falsafah kepimpinan yang perlu diambil ialah mengekalkan perpaduan di kalangan pemimpin Pemuda itu sendiri. Oleh yang demikian, wajar sekali para pemimpin Pemuda memastikan peristiwa perpecahan dan pengharaman UMNO pada tahun 1987 tidak berulang kembali. Budaya kepimpinan yang ikhlas, berkhidmat semata-mata kerana Allah, amanah, tidak rasuah, tidak membeli undi dan menjual undi perlu diberi perhatian. Lantaran itu para pemimpin pusat harus sedar dan bertindak supaya dapat membudayakan pemimpin pelapis dengan semangat syura di dalam kepimpinan negara. Sebarang pendekatan di dalam proses pemilihan kepimpinan perlulah tidak menyimpang dari semangat keislaman sebagai asas perpaduan dan kestabilan parti politik UMNO masa depan. Persoalannya jika perpaduan tidak dapat digarap, kecelaruan akan timbul di kalangan ahli-ahli UMNO untuk mencari pemimpin yang ideal.

Apabila prasangka telah mengambil tempat, kekuatan parti akan menjadi lemah dan mudahlah musuh menembusinya. Menginsafi malapetaka yang mungkin terjadi pada ahli-ahli UMNO masa kini, para pemimpin perlulah menoleh ke belakang, menghayati sejarah perjuangan UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946, mengamati dan menganalisis secara penuh sedar. Hanya dengan adanya misi dan visi, strategi dan teknologi demi masa depan yang jelas, UMNO dapat bertahan lama. Perbezaan pendapat dan simpang siur aliran bukan bermakna jalan perpecahan tetapi merupakan satu petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena yang perlu dibaiki segera. Pemimpin yang mengambil jalan perpisahan sebagai penyelesaian muktamad bukanlah pemimpin yang ikhlas tetapi merupakan pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

Kedua, para pemimpin Pemuda dan ahli-ahli parti hendaklah menanamkan kesetiaan dan kejujuran dalam perjuangan membangunkan negara. Ketiadaan kedua-dua amalan ini akan membawa dan mengakibatkan kelemahan pada kekuatan UMNO. Hadis-hadis Rasulullah (S.A.W) banyak meriwayatkan bahawa pentingnya nilai kejujuran ditanamkan dalam diri manusia. Agama Islam itu adalah kejujuran. Dengan itu., pemimpin yang tidak amanah bukan sahaja dinafikan oleh masyarakat tetapi juga oleh agamanya. Sekali gus tidak layak menjadi khalifah di dunia. Kerana itu demi keselesaan politik UMNO amatlah perlu mereka memiliki kesetiaan. Mereka patut menyumbangkan idea-idea yang bernas, membimbing masyarakat dengan ikhlas, sedia berkorban, berlapang dada dan mengutamakan perpaduan parti daripada mempersoalkan kerusi, nama atau kuasa. Kesetiaan perlu dibuktikan bukan menjadi jaguh untuk menimbulkan percaturan dan persaingan akibat proses pelantikan jawatan, perlaksanaan pembangunan dan pembahagian kuasa. Oleh itu, ahli-ahli UMNO mestilah bersatu dalam apa keadaan sekalipun menghadapi cabaran-cabaran masa kini dan hadapan yang bakal dihadapi.

Ketiga, kemajuan sesebuah parti tidak akan dapat dibina secara kukuh dan mantap apabila setiap ahli-ahlinya tidak terdidik dalam melaksanakan tugas dengan berdisiplin. Sekiranya faktor ini diabaikan ataupun dipandang remeh, lambat laun, keutuhan parti dan negara akan runtuh. Sejarah telah membuktikan empayar-empayar agung di dunia seperti di China, India dan Kepulauan Nusantara dapat diambil oleh orang luar kerana tidak mengamalkan disiplin kepemimpinan. Ketiadaan sifat disiplin boleh membawa kepada keruntuhan moral kerana tidak rasa kesetiaan yang luhur. Fitnah memfitnah, lompat melompat dan tikam menikam malah menjadikan politik sebagai batu loncatan untuk kepentingan sendiri adalah menjadi dasar perjuangan kepada pemimpin yang tidak mempunyai kesetiaan yang luhur. Apabila cita-cita mereka tidak tercapai, perasaan kecewa akan menyelubungi, lalu pada masa inilah masa yang baik bagi pihak musuh menaburkan benih kebencian kepada pemimpin atasan di hati pemimpin yang kecewa tadi. Oleh itu UMNO perlulah memastikan bakal-bakal pemimpinnya tidak memiliki sifat-sifat ini termasuk juga para penyokongnya. Para pemimpin Pemuda UMNO hendaklah memiliki kekuatan disiplin semasa menjalankan tugas-tugas mereka kerana kejayaan hidup banyak bergantung kepada peraturan disiplin. Lihat saja Korea dan Jepun yang menjadi kebanggaan bagi negara sebelah timur, sebelumnya tidak dihiraukan oleh barat tetapi telah menjadi maju kerana pemimpinnya mempunyai sikap disiplin yang tinggi bukan sahaja kerana mereka rajin bekerja tetapi juga rajin menimba ilmu untuk memajukan bangsa dan negara tercinta.

Pembinaan bangsa Melayu yang baru memerlukan pemimpin yang tidak rakus, menipu dan mengampu untuk mencari penghormatan dan keselesaan hidup sahaja. Pemimpin yang dikehendaki oleh UMNO masa depan hendaklah yang berbudi bahasa, tahu mengenang budi orang-orang lama dan bersabar ketika menghadapi cubaan. Ertinya pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO mestilah memiliki personaliti yang baik, kental, bersih dan tegas. Kehidupan masa lalu yang bersih dapat mengelakkan daripada dilontarkan dengan pelbagai tohmahan yang boleh menjatuhkan imej pemimpin tersebut sekali gus menggelapkan masa depan politiknya.

Keempat, bagi mencapai matlamat Wawasan 2020 pemimpin-pemimpin Pemuda dan ahli-ahlinya perlu memiliki konsep kesedaran masa atau nilai waktu. Apabila pemimpin-pemimpin Pemuda mempunyai kesedaran tentang pentingnya ketepatan waktu yang dianjurkan oleh Islam, mereka berjanji dengan tepat, tidak menangguhkan sebarang pekerjaan terutamanya dalam menjayakan aktiviti ekonomi dan pembangunan negara. Jika Wawasan telah mencanangkan tahun 2020 sebagai target kedewasaan Malaysia, jangan katakan tidak tetapi mestilah katakan boleh. Seiring dengan itu pemimpin UMNO sewajarnya melangkah dengan lebih gagah ke arah satu matlamat dan tujuan agar dapat menyambung dan meneruskan cita-cita kita.

Oleh itu, pemimpin UMNO mestilah menunjukkan kesanggupan agar tidak menjadi bahan ketawa atas kegagalan dan akhirnya akan dipersendakan oleh anak bangsa. Negara Jepun melancarkan program perindustrian beratnya pada tahun 1890an dan pada awal 1910an telah nampak kejayaan hasil programnya. Lebih kurang hanya 20 tahun mereka mencapai wawasan ke arah perindustrian dan akhirnya berjaya. Kejayaan ini disebabkan kesatuan rakyat menghargai masa. Masa berjalan terlalu pantas dan tidak ada ruang lagi bagi ahli-ahli UMNO membuang masa dan mempersoalkan isu-isu yang tidak menguntungkan bangsa keseluruhannya. Justeru itu semua perkara yang melibatkan pembaziran masa, tenaga dan harta hendaklah dijauhi demi melahirkan masyarakat yang berketerampilan. Anehnya masih ramai orang-orang Melayu yang tidak pandai menghargai masa walaupun mereka Islam. Hingga lahir petua Janji Melayu. Untuk membuang sikap buruk ini, pemimpin UMNO mestilah menuju ke depan tanpa waswas, tanpa prasangka buruk sebaliknya memantapkan kekuda kepemimpinan. Perkara kelima dan terakhir yang sepatutnya diamalkan oleh para pemimpin Pemuda ialah pemikiran yang kritis, terbuka, kreatif dan bersifat toleransi. Dalam proses pendewasaan, para pemimpin yang bercita-cita untuk menjadi pejuang wajarlah dapat berperanan secara efektif dan jujur, serta sanggup juga menerima teguran demi kebaikan dan keselamatan parti. Selaku pemimpin yang menjadi penerus kepada kepemimpinan negara, pemuda harus bertindak sebagai pembela rakyat dan juru bicara rakyat kepada pimpinan atasnya.

Tradisi dan budaya berfikir terbuka ini sepatutnya menjadi jambatan untuk mencapai keselamatan parti dan negara amnya. Ini merupakan cabaran asas yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin Pemuda untuk menampakkan kemampuan bertindak di atas kebenaran walaupun tidak popular yang jelasnya, kefahaman kepimpinan yang benar sahaja dapat mengubah status dan imej parti dan negara.

Kelima-lima faktor di atas tidak akan memberi sebarang makna dan tidak akan berjaya selagi mentaliti pemimpin-pemimpin Pemuda tidak menerimanya. Oleh itu, jika UMNO mahu tetap memerintah negara ini, sifat-sifat ini perlu dihayati secara ikhlas. Pemimpin-pemimpin itu adalah pendidik, jika benar didikan itu maka negara dapat rahmat, aman dan damai seperti yang dicitakan

No comments: