Sunday, August 24, 2008

Era Kepemimpinan Pergerakan Pemuda 1971-1982

Dalam mengkaji perkembangan Pergerakan Pemuda di dalam era ini, perbincangan tidak dapat dipisahkan daripada soal ekonomi. Ini kerana selepas berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, pemimpin-pemimpin UMNO dan sayap kanannya telah memberikan perhatian kepada soal-soal peningkatan ekonomi orang-orang Melayu yang jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak untuk memastikan sekurang-kurangnya 30% daripada aktiviti ekonomi dimiliki oleh bumiputera, maka usaha yang giat perlu dijalankan. UMNO yang merupakan parti yang dianggotai oleh majoriti orang-orang melayu, telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan matlamat yang dirancangkannya tercapai. 

Bab ini akan membincangkan bagaimana Pemuda yang dipimpin oleh tiga tokoh iaitu Dato' Harun Idris, Tan Sri Syed Jaafar Albar dan Dato' Suhaimi Kamaruddin telah memainkan peranan penting bagi menjayakan dasar tersebut. Juga akan dibincangkan bagaimana Pemuda telah mengubah cara bertindaknya dari pergerakan yang patuh kepada arahan serta kemahuan pucuk pimpinan parti menjadi kumpulan pendesak yang lantang hinggakan ianya seolah-olah menjadi parti dalam parti. Dalam jangka waktu ini ia telah menjadi sebuah Pergerakan yang kuat serta ditakuti oleh pihak pembangkang dan pihak-pihak yang tertentu sama ada di dalam kerajaan, swasta atau parti UMNO sendiri, terutamanya ketika Pemuda di bawah pimpinan Dato' Harun Idris. Segala usaha untuk menggagalkan perlaksanaan DEB akan menerima teguran serta tindakan daripada Pemuda. 

Perkara kedua yang berlaku di dalam era ini hinggakan ianya menjadi satu sejarah dalam politik tanah air ialah apabila Dato' Harun Idris yang menjadi Ketua Pergerakan Pemuda telah dipecat daripada UMNO dan telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah. Bahkan dalam masa 12 tahun tempoh era ini dibincangkan, hampir separuh daripadanya memberikan tumpuan kepada masalah tersebut. Kejayaan Dato' Harun Idris mengemudi Pemuda serta ketokohan yang ada padanya menyebabkan Tan Sri Syed Jaafar Albar dan Dato' Suhaimi yang menjadi teraju Pergerakan Pemuda selepas itu terpaksa berhadapan dengan masalah yang ditinggalkan oleh beliau.


No comments: