Sunday, August 24, 2008

Era Kepemimpinan Pergerakan Pemuda 1951 - 1970

Era ini akan memberikan tumpuan kepada perkembangan Pergerakan Pemuda pada awal 1950an sehingga akhir 1960an. Dalam tempoh ini Pemuda diterajui oleh dua orang tokoh yang sama-sama berjuang menubuhkan UMNO. Mereka ialah Tun Sardon Jubir dan Tan Sri Senu Abdul Rahman. Sepanjang hampir 20 tahun ini, akan dapat dilihat bagaimana kedua -dua tokoh ini memajukan Pergerakan tersebut dan menggerakkannya untuk menghadapi serta mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh UMNO dan Parti Perikatan untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dan mengisi kemerdekaan tersebut. Dalam era ini akan memperlihatkan Pemuda menjadi tenaga penggerak dan benteng utama kepada UMNO untuk menghadapi musuh-musuhnya.

Jika semasa awal penubuhannya sehingga akhir 1950, Pergerakan Pemuda seolah-olah tidak berperanan dan hanya menurut tanpa bertindak akan apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti tetapi dalam era ini mereka telah berani mendesak dan mengkritik pucuk pimpinan parti dan kerajaan walaupun ianya dilakukan secara tidak terang-terangan. Walau bagaimanapun semangat yang berkobar-kobar golongan Pemuda yang kadangkala mendahului badan induknya dalam memperjuangkan sesuatu isu telah dapat diredakan oleh Tun Sardon Jubir dan Tan Sri Senu Abdul Rahman. Mereka telah berjaya mengelakkan berlakunya pertentangan dan perbalahan secara terbuka di antara Pemuda dan badan induknya melalui keakraban mereka dengan pucuk pimpinan terutamanya Tunku Abdul Rahman.

Di bawah Tun Sardon Jubir, Pemuda telah meneruskan perjuangannya dalam pelbagai aspek terutama dalam soal soal-soal politik. Keadaan ini wujud kerana situasi ketika itu memaksa Pergerakan itu melibatkan diri secara aktif di dalam perkembangan politik tanah air.

Ketika berada di bawah teraju pimpinan Tan Sri Senu Abdul Rahman pula kita akan dapat melihat bagaimana Pemuda menerokai bidang-bidang baru bagi meluaskan fungsinya serta penglibatannya dalam menghadapi pemisahan Malaysia-Singapura dan peristiwa 13 Mei 1969. Beliau juga telah berjaya menubuhkan Pasukan Tahan Lasak Pemuda untuk menghadapi musuh-musuh politik. Dalam perkembangan lain, Pemuda telah pun melibatkan pergerakan mereka dalam soal -soal kemasyarakatan, sukan, ekonomi dan sebagainya. Tan Sri Senu Abdul Rahman juga telah menubuhkan gerakan Revolusi Mental bagi membantu golongan muda untuk menghadapi cabaran-cabaran yang semakin pesat.

Sepanjang kepimpinan mereka, kedua-dua tokoh ini telah berjaya menjalankan falsafah utama Pemuda iaitu mempertahankan UMNO dan menjadikannya tulang belakang parti dari ancaman musuh-musuhnya, bersesuaian dengan matlamat penubuhannya. Di samping itu juga mereka telah berjaya menanamkan taat setia kepada pucuk pimpinan parti. Ini menjadikan keduanya amat popular dan berjaya menjadi Ketua Pemuda dalam jangka masa yang lama tanpa tentangan daripada ahli-ahli.

No comments: